PERMATApintar

A. PUSAT PERMATApintar NEGARA

Pengenalan

Kanak-kanak pintar cerdas adalah sumber semula jadi negara. Mereka mempunyai keperluan khas yang berlainan daripada pelajar-pelajar sederhana atau kanak-kanak istimewa. Kajian ke atas profil pelajar-pelajar pintar cerdas menunjukkan bahawa terdapat seorang pelajar pintar cerdas bagi setiap 10,000 orang kanak-kanak (Tidwell, 1980). Malaysia mempunyai seramai 3.5 juta pelajar-pelajar dari umur sembilan hingga 15 tahun. Ini menjadikan bilangan pelajar pintar cerdas di Malaysia seramai 350,000 orang. Pelajar-pelajar pintar cerdas juga terdapat dalam kalangan pelajar-pelajar khas seperti masalah penglihatan, masalah pendengaran, masalah fizikal, masalah pembelajaran, masalah emosi dan tingkah laku serta dalam kalangan pelajar pemulihan. Mereka dikategorikan golongan keistimewaan pelbagai (multiple exceptionalities). Kanak-kanak pintar cerdas adalah aset negara yang perlu dicari, digilap dan ditonjolkan demi mencapai cita-cita negara.

Kerangka Konseptual

a) Kesesuaian ujian saringan yang diguna pakai untuk memilih pelajar-pelajar pintar cerdas di Malaysia.
b) Pencarian pelajar pintar cerdas yang mempunyai latar belakang yang berbeza dan berada di beberapa lokasi termasuk di kawasan pendalaman.
c) Pengalaman pendidikan inklusif yang dialami oleh pelajar-pelajar pintar cerdas semasa mereka di sekolah masing-masing.
d) Program pengayaan yang dapat membuka minda mereka untuk menjadi lebih kreatif dan inovatif.
e) Program pecutan yang boleh disepadukan dengan kurikulum kebangsaan.
f) Program pecutan yang dapat melonjakkan kebolehan pelajar untuk menjadi lebih inovatif melalui penyelidikan bersama pakar.
g) Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang menekankan kepada perkembangan kendiri yang holistik merangkumi jasmani, emosi, rohani, intelek dan sosial.

Visi

Menjadi institusi terulung yang mempelopori dan keperluan pendidikan pelajar pintar cerdas dalam membentuk generasi bitara bangsa yang menyumbang kepada kesejahteraan sejagat.

Misi

Menjadi pemimpin pendidikan yang holistik untuk pelajar pintar cerdas berpandukan Falsafah Pendidikan Kebangsaan.
Falsafah.Paduan antara Jasmani, Emosi, Rohani, Intelek dan Sosial yang mendasari pendidikan berterusan untuk mengoptimumkan potensi pelajar.

Matlamat

Melahirkan pelajar pemikir beradab yang kreatif, inovatif, beretika serta mempunyai jatidiri kebangsaan.

Moto

Teroka, Cipta, Bitara

Pusat PERMATApintar Negara, UKM menguruskan empat program utama yang terdiri daripada:

1. Pencarian dan Pengurusan Bakat: mencari dan mengurus bakat pelajar-pelajar pintar cerdas melalui ujian-ujian saringan PERMATApintar UKM1 dan UKM2; membangun dan melaksanakan ujian-ujian saringan dalam talian; membangun dan melaksanakan modul-modul kursus susulan dan baru secara dalam talian; pengurusan Persatuan Alumni PERMATApintar UKM.
2. Program Perkhemahan Cuti Sekolah PERMATApintar Negara: merancang dan melaksanakan kursus-kursus kejurulatihan pengajar, pembantu pengajar, pembantu pelajar dan pengurus perkhemahan; melaksanakan kurikulum pengayaan dan pecutan.
3. Program Pendidikan PERMATApintar UKM: program khas yang pertama di Malaysia untuk pelajar pintar cerdas akademik yang telah memulakan sesi pengajian pada tahun 2011.
4. Program ASASIpintar UKM: merupakan program pra-universiti yang mengambil masa selama setahun di UKM untuk membolehkan pelajar pra-siswazah menamatkan pengajian dalam tempoh yang cepat (3 tahun) atau membolehkan pelajar mendapat ijazah sarjanamuda dan sarjana dalam tempoh 4 tahun.

Ciri-ciri Kanak-kanak Pintar

Menurut pakar pendidikan pintar cerdas, kanak-kanak pintar cerdas mempunyai ciri-ciri unik seperti:

a) Mempunyai rasa ingin tahu yang tinggi.
b) Sentiasa tekun dalam mengejar minat dan mencari jawapan kepada persoalan yang timbul dalam minda mereka.
c) Mempunyai perseptif berbeza terhadap persekitaran.
d) Kritikal terhadap diri sendiri dan lain orang lain.
e) Boleh berjenaka.
f) Peka kepada ketidakadilan di tahap peribadi dan global.
g) Sentiasa menjadi pemimpin dalam pelbagai bidang.
h) Tidak mudah menerima kenyataan-kenyataan dangkal, jawapan atau penilaian yang diberi atau dibuat oleh orang lain.
i) Faham prinsip-prinsip asas atau umum dengan mudah.
j) Sering memberikan respons kepada persekitaran melalui media dan pelbagai cara lain selain dari bahan cetak dan penulisan.
k) Dapat melihat hubungan yang wujud antara pandangan-pandangan yang berbeza, dan menghasilkan pelbagai idea dari satu rangsangan yang spesifik yang memerlukan persekitaran pembelajaran yang sangat mencabar.

B. UJIAN SARINGAN PERMATApintarTM UKM1 & UKM2

Pengenalan

Dalam usaha mencari dan mengenal pasti keupayaan kognitif pelajar pintar cerdas untuk menyertai program PERMATApintar Negara, ujian-ujian psikologikal intelek atau intelligence quotient (IQ) digunakan. Ujian-ujian yang digunakan ialah ujian-ujian PERMATApintar UKM1 dan UKM2. Ujian PERMATApintar UKM1 merupakan ujian saringan peringkat pertama . Manakala, ujian UKM2 merupakan ujian saringan peringkat kedua.

Tujuan

Kedua-dua ujian ini digunakan untuk mencari pelajar pintar cerdas bagi menyertai program-program seperti berikut:
1. Perkhemahan Cuti Sekolah PERMATApintar Negara di Universiti Kebangsaan Malaysia (untuk pelajar berusia 9 -15 tahun);
2. PERMATA Insan yang dikendalikan oleh Universiti Sains Islam Malaysia (untuk pelajar berusia 8 tahun yang beragama Islam)
3. Program Pendidikan PERMATApintar iaitu akademi khas pintar cerdas (untuk pelajar lepasan tingkatan 3).

Pelaksanaan

Kedua-dua ujian ini hanya dijalankan secara dalam talian melalui laman web agar proses pencarian pelajar pintar cerdas dapat dilakukan secara menyeluruh di Malaysia dalam masa yang terhad dan tidak melibatkan kos yang tinggi jika dibandingkan dengan ujian secara bertulis . Ia juga dilaksanakan bertujuan untuk membudayakan ICT di kalangan pelajar sekolah. Dari segi kemahiran komputer, pelajar hanya perlu mahir menggunakan tetikus dan papan kekunci. Dengan itu, semua pihak termasuk sekolah, ibu bapa dan ahli keluarga yang lain serta masyarakat Malaysia perlulah menggalakkan pelajar-pelajar mengambil ujian dalam talian ini. Pihak-pihak yang prihatin boleh membawa pelajar ke pusat-pusat komuniti di desa atau kafe siber dalam daerah masing-masing.

Bagi pelajar yang telah mengambil ujian ini pada tahun 2010, mereka perlu mengambil ujian ini untuk mengikuti program-program pada tahun 2011. Pelajar akan dipilih berdasarkan skor kelayakan mengikut peringkat umur dan tiada sistem kuota dari segi jantina, bangsa, daerah, negeri dan jenis sekolah digunakan dalam pemilihan pelajar. Ujian-ujian ini dibuka pada tarikh-tarikh tertentu. Pada tahun 2011, ujian UKM1 boleh diambil mulai 1 Februari hingga 31 April 2011 melalui http://www.permatapintar.edu.my. Semua pelajar Malaysia berusia 8 – 15 tahun layak menduduki ujian percuma ini. Tiada sekatan atau birokrasi untuk pelajar mengambil ujian sama ada di rumah, di sekolah atau di mana sahaja asalkan boleh mencapai laman sesawang ini. Pelajar boleh menyemak sama ada layak atau tidak menduduki ujian saringan kedua UKM2 yang akan dimaklumkan melalui laman sesawang pada bulan Jun 2011. Pelajar juga akan dimaklumkan tentang pusat-pusat ujian UKM2 yang dilakukan dengan pengawasan. Ujian UKM2 akan bermula pada 1 Julai hingga 30 Ogos 2011. Pelajar yang berjaya melepasi tahap skor kelayakan ujian UKM2 akan diumumkan melalui laman web PERMATApintar mulai 1 Sept 2011 untuk Program Perkhemahan PERMATApintar Negara. Bagi pelajar berusia 15 tahun, mereka akan dipanggil untuk menghadiri Perkhemahan Khas Matematik dan Sains untuk tujuan saringan secara bersemuka (temu bual dan pemerhatian) bagi pemilihan ke Program Pendidkan PERMATApintar.

Nilai Kejujuran Dan Tanggungjawab

Pelajar perlu jujur untuk mengisi maklumat peribadi, keluarga dan sekolah serta menjawab soalan ujian ini. Oleh sebab itu, tempoh masa ujian UKM1 tidak terhad dan pelajar boleh menyambung semula ujian jika sekiranya berhenti. Namun, ujian UKM2 mempunyai tempoh masa menjawab soalan. Pelajar tidak dibenarkan mendapatkan bantuan dari orang lain atau membuat rujukan semasa mengambil kedua-dua ujian saringan ini. Ibu bapa atau orang dewasa perlu menanamkan nilai murni KEJUJURAN dan TANGGUNGJAWAB dalam diri pelajar-pelajar ini. Kedua-dua ujian sepatutnya diambil oleh pelajar tanpa persediaan dari segi latihan tentang ujian tersebut sebagaimana dengan peperiksaan di sekolah. Ia adalah disebabkan pihak PERMATApintar dan PERMATA Insan ingin mengenal pasti pelajar pintar cerdas semula jadi dan dikembangkan bakat mereka melalui program yang disediakan. Dengan itu, ibu bapa, guru dan ahli keluarga yang lain tidak perlu membantu pelajar untuk menjawab soalan dalam ujian ini semata-mata untuk terpilih dalam program-program yang disediakan. Kursus-kursus dalam program perkhemahan adalah kursus-kursus peringkat tinggi yang mencabar keupayaan kognitif. Pelajar akan mengalami tekanan emosi dan mental semasa mengikut program kerana tahap kemampuan mereka bukan yang sebenar tetapi dilakukan dengan bantuan orang dewasa. Ia bukan sahaja menyulitkan pelajar, malah pihak pengurusan dan tenaga pengajar kerana terpaksa berhadapan dengan pelajar yang tidak berkemampuan untuk mengikuti modul-modul yang mencabar minda mereka.

C. PROGRAM PERKHEMAHAN CUTI SEKOLAH PERMATApintar NEGARA

Latar Belakang

Bagi menampung keperluan pembelajaran pelajar pintar cerdas di Malaysia, Pusat PERMATApintar Negara, UKM telah merangka satu program pengayaan dan pecutan yang dapat mencabar minda pelajar pintar cerdas. Program pengayaan dan pecutan ini dikenali sebagai Program Perkhemahan Cuti Sekolah PERMATApintar Negara kerana dijalankan pada masa cuti persekolahan akhir tahun iaitu dalam bulan November dan Disember. Asas kepada pembinaan Program Perkhemahan Cuti Sekolah ini ialah Falsafah Pendidikan Negara yang menekan kepada perkembangan holistik pelajar dari aspek jasmani, emosi, rohani, intelek dan sosial pelajar. Program yang dijalankan dalam tempoh 3 minggu ini dikendalikan oleh pengajar, pembantu pengajar dan pembantu pelajar yang dilatih khusus oleh pengajar UKM yang telah mendapat latihan di Johns Hopkins University – Center for Talented Youth.

Sepanjang perkhemahan, pelajar didedahkan dengan aktiviti akademik, aktiviti kokurikulum berbentuk kesenian dan sukan, program-program kerohanian mengikut agama masing-masing dan lawatan sambil belajar. Pelajar yang terpilih berumur antara 9 hingga 15 tahun dari pelbagai bangsa dan latar sosio-budaya dan telah melalui Ujian Saringan UKM1 dan UKM2. Ini menjadikan program ini satu program yang benar-benar melambangkan konsep satu Malaysia yang diketengahkan oleh YAB Perdana Menteri Malaysia, Dato Seri Najib Tun Razak. Pelajar akan mengikuti salah satu daripada 15 kursus yang ditawarkan.

Perkhemahan ini mengambil pendekatan yang melibatkan program pengayaan dan pecutan bagi menyediakan pelajar pintar cerdas peluang untuk mengembangkan kebolehan mereka untuk melakukan pembelajaran sepanjang hayat. Objektif perkhemahan ini adalah untuk:

1. Mengembangkan bakat dan kebolehan sedia ada pelajar.
2. Mengasah potensi pelajar secara holistik.
3. Mengembangkan kemahiran pelajar.
4. Memupuk pembelajaran sepanjang hayat.

Oleh itu, perkhemahan ini menyediakan kursus-kursus yang mencabar minat pelajar pintar cerdas yang tidak diajar di sekolah. Kursus-kursus ini adalah seperti: a. Menjadi Saintis (Be a Scientist) 9 Tahun b. Rekacipta (Invention) 9-12 Tahun c. Penaakulan Mantik (Mathematical Reasoning) 10 Tahun d. Penulisan dan Imaginasi (Writing and Imagination) 11 Tahun e. Pengenalan kepada Robotik (Introduction to Robotic) 12 Tahun f. Robotik Lanjutan (Advance Robotic) 13 Tahun g. Mengarang Penulisan (Crafting the Essay) 13 Tahun h. Rekacipta Lanjutan (Advance Invention) 13-15 Tahun i. Kriptologi (Cryptology) 14 Tahun j. Kristal dan Polimer (Crystal and Polimer) 14-15 Tahun k. Sains Penerbangan (Flight Science) 14-15 Tahun l. Kebarangkalian dan Teori Permainan (Probability and Game Theory) 14-15 Tahun m. Teknologi Hijau (Green Technology) 15 Tahun n. Bioteknologi (Biotechnology) 15 Tahun o. Biologi Pecutan (Fast-Paced Biology) 15 Tahun

Prinsip Yang Mendasari Program Perkhemahan Cuti Sekolah PERMATApintar Negara Semasa Perkhemahan Cuti Sekolah, pihak pengurusan Pusat PERMATApintar Negara akan memastikan setiap pelajar akan bertingkah laku secara bersesuaian setanding dengan keperluan pusat mengikut perkara-perkara berikut: i. Kod Kehormatan Pusat PERMATApintar Negara (Code of Honor) Setiap pelajar pintar cerdas perlu mempunyai rasa hormat, bertanggungjawab dan saling mempercayai. Untuk membina komuniti sedemikian, setiap individu yang wujud dalam komuniti tersebut perlulah: – Melakukan yang terbaik dalam semua aktiviti akademik – Bertoleransi dan menghormati perbezaan kaum, budaya, agama, gender, usia, keupayaan dan negeri kelahiran. – Bertingkahlaku secara mesra, bekerjasama, selamat dan bertanggungjawab terhadap semua yang ada dalam komuniti – Menghadiri semua sesi pembelajaran, makan bersama, aktiviti-aktiviti lain dan perjumpaan yang telah ditetapkan – Bertanggungjawab di atas kerja dan tingkahlaku sendiri – Sentiasa bekerjasama dengan pihak pengurusan – Mematuhi setiap peraturan yang telah ditetapkan oleh pihak pengurusan ii. Perbezaan Sifar (Zero Indiferrerence) Setiap individu yang berada dalam komuniti ini perlu bekerja tanpa memberi layanan yang berbeza antara satu sama lain. Setiap mereka harus di layan dengan saksama, penuh rasa hotmat dan mesra. Apabila membincangkan konsep Bekerja Tanpa Beza ini, Pusat PERMATApintar Negara mempunyai tiga matlamat: – Meningkatkan kesedaran kakitangan tentang tingkahlaku pelajar yang boleh mengangu proses pembelajaran – Membenarkan kakitangan (termasuk guru, dan pihak pengurusan) mengambil tindakan terus (mengikut peraturan yang telah ditetapkan) untuk menghentikan sebarang tingkahlaku membuli yang boleh menghalang proses pembelajaran yang berkesan. – Meningkatkan kesedaran untuk semua kakitangan dan pelajar supaya sentiasa berkomunikasi secara berhemah tanpa membuat orang lain berasa terasing atau disingkir baik secara fizikal atau psikologikal. iii. Persekitaran Pembelajaran yang Selamat Pelajar-pelajar perlu diberikan satu persekitaran pembelajaran yang boleh membuatkan mereka rasa selamat dan dihargai. Kajian-kajian lepas menunjukkan wujud hubungan yang positif antara rasa selamat dengan pencapaian akademik yang diperolehi oleh pelajar-pelajar disekolah.

D. PROGRAM PENDIDIKAN PERMATApintar NEGARA

Pengenalan

Program Pendidikan PERMATApintar merupakan program khas yang pertama di Malaysia untuk sekumpulan pelajar yang menunjukkan potensi intelek yang tinggi atau dikategorikan sebagai pelajar pintar cerdas akademik. Universiti Kebangsaan Malaysia telah diberi kepercayaan untuk melaksanakan program pendidikan ini yang akan bermula pada bulan Januari 2011, dengan ambilan pertama seramai 200 orang pelajar tingkatan 4 (16 tahun). Pada tahun 2012 sekolah ini dijangka mempunyai pendaftaran penuh seramai 400 orang pelajar yang terdiri daripada 200 orang pelajar tingkatan 4 dan 200 orang pelajar tingkatan 5.
Sekolah Pintar Cerdas di Luar Negara

Terdapat beberapa buah institusi pengajian tinggi di luar negara yang telah mempunyai sekolah pintar cerdas tersendiri. Antaranya di National University of Singapore, di Mahidol University, Thailand, dan di Korea Advance Institute of Science and Technology (KAIST). Justeru, Malaysia juga perlu mempunyai sekolah yang sedemikian supaya pelajar pintar cerdas Malaysia dapat belajar di tanah air sendiri. Pada ketika ini, ramai pelajar pintar cerdas Malaysia telah dihantar oleh ibu bapa masing-masing yang berkemampuan untuk belajar di sekolah pintar cerdas di luar negara dan ada diantara mereka yang mendapat tajaan biasiswa dan kewarganegaraan negara berkenaan.

Tujuan Penubuhan

1. Menyediakan program pendidikan holistik dan suasana pembelajaran kondusif khusus untuk pelajar-pelajar pintar cerdas akademik.
2. Membangun, menyedia, dan melaksanakan kurikulum pembelajaran yang sesuai dengan keperluan pembelajaran pelajar pintar cerdas akademik yang mempunyai potensi intelek yang tinggi.
3. Menyediakan pengalaman awal bagi pelajar pintar cerdas untuk belajar di institusi pengajian tinggi sekali gus mendapat bimbingan mentor dari kalangan ahli akdemik.
4. Mengumpulkan pelajar Malaysia yang berpotensi intelek tinggi untuk diberi peluang kepada mereka mendapatkan pengalaman awal dalam projek penyelidikan bagi membangunkan potensi minda kreatif dan berinovasi dalam kalangan pelajar berkenaan.
5. Menjadi model pendidikan pintar cerdas yang melibatkan pengintegrasian kurikulum pendidikan menengah dengan suntikan sukatan pelajaran tahap pengajian tinggi.
6. Mewujudkan satu wadah perkongsian pintar dan usaha sama di antara industri, institusi pengajian tinggi, dan sekolah dalam usaha saling lengkap melengkapi bagi menyediakan suasana pengalaman pembelajaran yang boleh membantu perkembangan holistik pelajar pintar cerdas akademik.

Objektif Penubuhan

Program ini dilaksanakan untuk pelajar-pelajar pintar cerdas yang mempunyai tahap potensi dan kemampuan yang tinggi untuk berfikir secara logik, kritis dan kreatif. Sehubungan itu, objektif pendidikan Program Pendidikan PERMATApintar adalah untuk melahirkan pelajar-pelajar yang mempunyai ciri-ciri seperti berikut:

1. Berkemampuan, berkemahiran serta berdaya saing untuk mencapai kecemerlangan dalam akademik di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.
2. Mempunyai daya kreativiti yang tinggi dalam menjana penyelesaian kepada masalah, dan boleh mencetuskan atau mencipta pemikiran-pemikiran baru berhubung ilmu yang dipelajari hasil penelitian yang analitikal dan kritis.
3. Sihat fizikal, sihat minda, berfikiran positif dan mempamerkan kesedaran kendiri yang matang dan bijaksana.
4. Mempunyai daya kepimpinan yang cemerlang dan terpuji, bertanggungjawab dan boleh membuat keputusan yang berkesan dengan mengambilkira prinsip-prinsip nilai baik dan beretika.
5. Menguasai kemahiran bahasa dan komunikasi yang mantap, serta mempunyai sikap yang sesuai untuk terlibat aktif dengan berkesan dalam aktiviti di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Pemilihan Pelajar ke Program Pendidikan PERMATApintar

Pelajar-pelajar yang akan mengikuti program ini adalah mereka yang telah menduduki ujian-ujian PERMATApintar UKM1 dan UKM2 ketika berusia 15 tahun (tingkatan 3). Mereka yang melepasi tahap-tahap yang ditetapkan bagi pencapaian ujian PERMATApintar UKM1 dan UKM2 akan seterusnya dinilai sekali lagi menerusi sesi temubual dan pemerhatian pada Perkhemahan Khas Matematik dan Sains. Selain daripada kemampuan kognitif dan kemampuan menyelesaikan masalah, daya kreativiti dan daya saing pelajar juga akan dinilai dalam pemilihan tersebut.

Program Pendidikan

Para pelajar di akademi ini akan mengikuti program pendidikan yang menyepadukan pembelajaran akademik, ko-kurikulum, pembinaan sahsiah dan nilai murni melalui pengalaman pembelajaran aktif dan bermakna. Suasana serta persekitaran sekolah turut dibangunkan agar menyumbang kepada perkembangan pelajar yang holistik dan menyeluruh. Pelajar di sini akan mengikuti kurikulum kebangsaan dan pada waktu yang sama diberi peluang untuk mempelajari mata pelajaran lain yang lebih mencabar. Sehubungan itu, setiap pelajar disediakan perancangan pembelajaran khusus sesuai dengan keperluan pembelajarannya. Mereka juga berpeluang mempelajari mata pelajaran yang ditawarkan diperingkat universiti sekiranya dinilai berkemampuan mengikuti pembelajaran tersebut. Pendekatan ini membolehkan para pelajar di sini mengikuti pembelajaran yang lebih mencabar, dan boleh melengkapkan pengajiannya dalam jangka masa yang lebih pendek sekiranya dia seterusnya mendaftar sebagai pelajar di Universiti Kebangsaan Malaysia.

E. ASASIpintar UKM

Pengenalan

Program ASASIpintar UKM dijangka akan dimulakan pada tahun 2012. Calon-calon cemerlang SPM pada tahun 2011 bagi kali pertama akan dipilih oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) atau Majlis Amanah Rakyat (MARA) bagi mengikuti pengajian di program ASASIpintar UKM. Semua pelajar yang dipilih akan mendapat biasiswa JPA atau MARA.

Perbezaan Program ASASIpintar UKM dengan Program Matrikulasi Sedia Ada

Program ini membolehkan pelajar menamatkan pengajian pra-siswazah dalam tempoh yang cepat (3 tahun) atau boleh mendapat Ijazah Sarjana Muda dan Ijazah Sarjana (double degree) dalam tempoh 4 tahun.

Hasil Pembelajaran

Di akhir program ASASIpintar pelajar:

1. Berkebolehan menjalankan penyelidikan dengan mana-mana projek penyelidikan.
2. Berkebolehan mengikuti kursus tahun pertama universiti.
3. Menguasai pengetahuan asas yang membolehkan pelajar ASASIpintar mengikuti pelbagai program ijazah sarjanamuda di UKM terutamanya program berasaskan sains dan teknologi.
4. Menghayati kepentingan pendidikan yang berteraskan pembelajaran multidisiplin seawal peringkat pra-universiti.
5. Meningkatkan jati diri pelajar serta pembinaan modal insan kelas pertama melalui olahan pengalaman di dalam program ini.

Struktur Pembelajaran

Kursus-kursus yang disediakan mempunyai kurikulum yang dapat membantu menyediakan pelajar untuk mengikuti program ijazah sarjanamuda di UKM. Kurikulum tersebut menekankan tiga aspek:

1. Pembinaan jati diri,
2. Kemahiran menjalankan penyelidikan dan penulisan laporan penyelidikan dan
3. Mempelajari isi kandungan kursus tahun pertama universiti.

Struktur Kurikulum

Pelajar wajib mengambil dan lulus: • Kursus penyelidikan (3 kredit) • Pembelajaran berasaskan penyelidikan bersama kumpulan pakar (3 kredit) • Kursus-kursus wajib fakulti (12 kredit) • Kursus kepimpinan dan jati diri (JERI) (4 kredit) • Kursus-kursus wajib universiti (U1, U2, U3) (12 kredit). • Kursus-kursus kokurikulum (6 kredit)
Jumlah keseluruhan kredit yang perlu diambil oleh pelajar ialah 40 kredit bersamaan dengan 160 jam pembelajaran.

Objektif

1. Menawarkan tempat bagi pelajar yang mempunyai keputusan cemerlang di peringkat SPM dari aliran sains dan sastera dengan membuat pengkhususan dalam bidang sains dan sastera.
2. Sebagai mekanisma bagi pengambilan calon-calon Bumiputera lepasan SPM bagi memasuki program Ijazah Sarjanamuda Sains dan Sastera di UKM.
3. Membina program yang selaras dengan keperluan Kerangka Kelayakan Malaysia yang menekankan kepada penilaian hasil pembelajaran.
4. Mengendali program khas pra-universiti bagi memenuhi keperluan negara untuk menempatkan pelajar pintar.
5. Program ASASIpintar adalah program khas UKM sebagai usaha mendidik dan melatih generasi pintar.
6. Untuk meningkatkan kompetensi generik pelajar pintar secara holistik yang boleh meningkatkan kemampuan pelajar pintar supaya dapat memberi sumbangan di dalam dan luar Negara.
7. Mengikuti, merancang dan menjaga pencapaian akademik pelajar pintar terpilih agar sentiasa cemerlang semasa pengajian di peringkat Asasi dan siswazah.
8. Untuk membangunkan generasi pelajar pintar yang dapat membudayakan inovasi dan penyelidikan.
9. Menghasilkan pelapis pensyarah program kritikal di UKM dan IPTA lain.

LAGU ANAK PERMATApintar

Anak adalah anugerah tuhan
Yang lahir dengan kasih sayang
Anak PERMATA cahaya hidup
Bakal berkilau di masa hadapan

Kami dicari seluruh Malaysia
Dengan segala usaha yang payah
Bersama sahabat yang memahami Serta guru yang mendampingi

Korus

Belajar kami terus belajar
Berusaha kami terus berusaha
Menjadi warga pintar
Demi mencapai cita-cita Negara
Memenuhi impian pemimpin
Bangsa SATU MALAYSIA
Kami teroka pelbagai penjuru
Kami cipta mencari yang baru
Jadi anak bitara bangsa
Pintar, luhur, berhemah, jujur

Kami disaji pelbagai program
Yang menguji dan mencabar minda
Kami diasuh menjadi kreatif
Agar minda lebih inovatif

Korus

Belajar kami terus belajar
Berusaha kami terus berusaha
Membentuk diri sendiri
Demi mencapai cita-cita Negara
Menjadi warga pintar dunia
Memenuhi impian SATU MALAYSIA

Bukan sahaja mengenal buku Kami diasuh hormati ilmu Jadi pemikir beradab cermat Bijaksana pula mencapai matlamat

Kami anak PERMATApintar
Bagai khazanah yang perlu digilap
Agar kilauan membenih bakti
Kepada Negara yang dicintai

1 Comment

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s